Thursday, 21 May 2015

Simpulan Bahasa : buka telinga - dapat terpijak

SIMPULAN BAHASA : 21
Buka Telinga / Tadah Telinga
Maksud: Mendengar baik-baik. 
Contoh Ayat: Selwam sentiasa buka telinga dan menerima nasihat orang yang telah lama bertugas di syarikat itu. 

Buka Tembelang 
Maksud: Membocorkan rahsia. 
Contoh Ayat: Si Hamid telah membuka tembelang dengan mengatakan Si Guna yang mencuri kambing Kurupaya. 

Buku Lima 
Maksud: Penumbuk. 
Contoh Ayat: Faris naik marah lalu menunjukkan buku limanya ke arah Aminul. 

Bulan Kesiangan 
Maksud: Berwajah pucat. 
Contoh Ayat: Mukanya seperti bulan kesiangan apabila dia tidak bersolek. 

Bulan Madu 
Maksud: Pergi ke sesuatu tempat untuk berhibur sesudah berkahwin. 
Contoh Ayat: Pengantin baru itu bercadang untuk berbulan madu di Langkawi. 

Bulan penuh 
Maksud: Cantik. 
Contoh Ayat: Mukamu bagai bulan penuh. Saya suka menatapnya. 

Bulat Fikiran
Maksud: Mengambil keputusan yang tetap. 
Contoh Ayat: Dia telah bulat fikiran untuk meneruskan pelajarannya ke luar negeri. 

Bulat Kata 
Maksud: Keazaman yang bersungguh-sungguh. 
Contoh Ayat: Keluarga Khadijah telah bulat kata hendak mewakafkan tanah pusaka mereka untuk dijadikan tapak sekolah agama. 

Bunga Bangsa 
Maksud: Orang yang berjasa kepada negara. 
Contoh Ayat: Jasa perajurit yang gugur di perbatasan akan sentiasa dikenang sebagai bunga bangsa. 




SIMPULAN BAHASA : 22
Bunga Bibir 
Maksud: Kata-kata yang manis. 
Contoh Ayat: Jangan mudah terpengaruh dengan bunga bibirnya. 

Bunga Dedap 
Maksud: Orang yang cantik tetapi tidak berbudi bahasa. 
Contoh Ayat: Tina laksana bunga dedap, harapkan rupanya sahaja cantik tetapi tidak tahu menghormati jiran tetangga. 

Buru Hutang = Diburu Hutang 
Maksud: Terdesak kerana berhutang. 
Contoh Ayat: Hidup Chee An sentiasa diburu hutang kerana dia suka berjudi. 

Buru Nafsu = Terburu Nafsu 
Maksud: Melakukan sesuatu secara terburu-buru. 
Contoh Ayat: Jangan terburu nafsu dalam mengambil keputusan, fikirlah baik buruknya.

Buru Pangkat = Memburu Pangkat 
Maksud: Berusaha mencari pangkat. 
Contoh Ayat: Walaupun mahu memburu pangkat, tetapi janganlah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. 

Buru Pelajaran = Memburu Pelajaran 
Maksud: Berusaha mencari ilmu pengetahuan. 
Contoh Ayat: Encik Aziz masih terus memburu pelajaran pada usia enam puluhan. 

Buruk Hati Busuk Hati
Maksud: Orang yang jahat. 
Contoh Ayat: Perempuan yang buruk hati itu tidak membenarkan anak saudaranya menumpang di rumahnya. 

Buruk Laku 
Maksud: Kelakuan tidak senonoh. 
Contoh Ayat: Perangai Ubai yang buruk laku menyebabkan dia tersisih daripada masyarakat. 

Buruk Makan 
Maksud: Pelahap. 
Contoh Ayat: Budak yang buruk makan itu, membedal semua kuih-muih yang dihidang di atas meja. 


SIMPULAN BAHASA : 23
Buruk Mulut 
Maksud: Percakapan yang kasar. 
Contoh Ayat: Sejak pulang daripada menunaikan haji, perangai buruk mulutnya telah tiada, sebaliknya dia bercakap dengan lemah lembut. 

Buruk Perut 
Maksud: Kuat makan. 
Contoh Ayat: Orang yang buruk perut mudah mendapat penyakit. 

Buruk Sangka 
Maksud: Menaruh curiga. 
Contoh Ayat: "Jangan buruk sangka kepada kata-kata Zaleha, entahkan dia berniat baik," kata Masyitah kepada Azzam. 

Buruk Selera 
Maksud: Makan apa sahaja. 
Contoh Ayat: Jauhkan amalan buruk selera sebaliknya makanlah makanan yang seimbang. 

Buruk Siku 
Maksud: Meminta barang yang telah diberikan. 
Contoh Ayat: Agus buruk siku kerana meminta semula motosikal buruk yang telah diberikan kepada adiknya. 

Busuk Budi 
Maksud: Perangai yang jahat. 
Contoh Ayat: Sikapnya yang busuk budi itu tidak disukai oleh saudara-maranya. 

Busuk Hati 
Maksud: Orang yang berhati jahat. 
Contoh Ayat: Dia busuk hati walaupun dengan kakaknya sendiri. 

Busung Dada 
Maksud: Sombong. 
Contoh Ayat: Nadzran bersikap busung dada sejak ayahnya dilantik menjadi wakil rakyat di daerah itu. 

Buta Ayam = Rabun Ayam 
Maksud: Mata yang rabun menjelang senja. 
Contoh Ayat: Dia tidak boleh memandu kereta pada waktu senja kerana dia buta ayam. 



SIMPULAN BAHASA : 24
Buta Hati 
Maksud: Bersikap kejam. 
Contoh Ayat: Pencuri itu buta hati kerana sanggup membunuh orang tua yang tidak berdaya itu. 

Buta Huruf 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 
Contoh Ayat: Ramlee, Ajis dan Sudin perlu menduduki kelas dewasa kerana mereka buta huruf. 

Buta Kayu 
Maksud: Tidak tahu membaca dan menulis. 
Contoh ayat : Setelah menyedari dia buta kayu, Hassan berusaha melajar membaca daripada jirannya.

Buta Malam 
Maksud: Rabun pada waktu malam. 
Contoh Ayat: Syabil tidak dapat hadir dalam aktiviti rukun tetangga pada waktu malam kerana dia buta malam. 
 
Buta Perut 
Maksud: Tidak bertimbang rasa. 
Contoh Ayat: Kita janganlah jadi orang yang buta perut, perlulah fikirkan nasib mereka yang malang. 

Buta Warna 
Maksud: Tidak dapat membezakan warna. 
Contoh Ayat: Satu daripada syarat untuk mengikuti program "Memandu Kapal Terbang" ialah peserta tidak buta warna.

Cabut Nyawa 
Maksud: Membunuh. 
Contoh Ayat: "Janganlah kau cabut nyawaku," rayu Arjuna kepada Jejaka. 

Cacing Gila 
Maksud: Meronta-ronta. 
Contoh Ayat: Kesakitan yang dialaminya menyebabkan dia seperti cacing gila. 

Cacing Kepanasan 
Maksud: Gelisah. 
Contoh Ayat: Dia seperti cacing kepanasan apabila disoal polis. 



SIMPULAN BAHASA : 25
Cacing Naik Ke Mata 
Maksud: Kelakuan atau perbuatan yang melampau. 
Contoh Ayat: "Nampaknya perbuatan pegawai Inggeris itu seperti cacing naik ke mata," kata Tuk Penghulu. 

Cahaya Mata 
Maksud: Anak. 
Contoh Ayat: Puan Jamiah baru sahaja melahirkan cahaya mata yang kedua. 

Cakap Angin 
Maksud: Cakap-cakap yang tidak berfaedah. 
Contoh Ayat: Daripada bercakap angin dan melepak di gerai baiklah kita ke perpustakaan. 

Cakap Besar 
Maksud: Meninggi diri. 
Contoh Ayat: Zaidan suka bercakap besar tentang kekayaannya. 

Cakap Mulut 
Maksud: Bahasa yang digunakan dalam percakapan harian. 
Contoh Ayat: Terdapat perbezaan antara bahasa tulisan dengan cakap mulut. 

Cakap Tinggi 
Maksud: Meninggi diri. 
Contoh Ayat : Murid-murid kelas itu menjauhi Paramjit kerana sikapnya yang suka cakap tinggi serta suka memperlekehkan orang lain.

Cakar Awan = Pencakar Awan 
Maksud: Bangunan-bangunan yang tinggi. 
Contoh Ayat: Di kota besar banyak bangunan pencakar awan. 

Cakar Ayam 
Maksud: Tulisan yang buruk. 
Contoh Ayat: Tulisannya seperti cakar ayam dan sukar dibaca. 

Campur Cakap 
Maksud: Melibatkan diri dalam urusan orang lain. 
Contoh Ayat: "Kamu jangan campur cakap kalau kamu tidak tahu perkara yang sebenarnya," kata ayah. 

Campur Mulut 
Maksud: Melibatkan diri dalam urusan orang lain. 
Contoh ayat : ibu selalu menasihat kami agar tidak campur mulut dalam hal yang bukan urusan kami.
SIMPULAN BAHASA : 26
Campur Tangan 
Maksud: Melibatkan diri dalam urusan orang lain. 
Contoh ayat : Cikgu Ridhaudin terpaksa campur tangan setelah pergaduhan antara Then dan linges tidak dapat diuraikan.

Cangkul Angin 
Maksud: Melakukan perbuatan yang sia-sia. 
Contoh Ayat: Ah Lau cangkul angin sahaja kerana perniagaan pakaian itu tidak membawa keuntungan. 

Cari Akal = Mencari Akal 
Maksud: Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara. 
Contoh Ayat: Puan Haida mencari akal untuk menyelesaikan masalah perbelanjaan persekolahan anak-anaknya. 

Cari Bala 
Maksud: Membuat sesuatu yang akhirnya menyusahkan diri sendiri. 
Contoh Ayat: Jangan cari bala dengan memberi perlindungan kepada pendatang asing. 

Cari Fasal 
Maksud: Mencari sebab untuk memulakan pergaduhan. 
Contoh Ayat: Ketua kumpulan samseng itu cari fasal dengan menendang kasut Kasim. 

Cari Fikiran 
Maksud: Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara. 
Contoh ayat : Ayah mengambil masa yang agak lama mencari akal untuk menyelesaikan masalah pergaduhan Abang Long dengan kak Cik.

Cari Ikhtiar 
Maksud: Berusaha bersungguh-sungguh. 
Contoh Ayat: Najwa sedang mencari ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit anaknya. 

Cari Makan 
Maksud: Bekerja atau mencari rezeki. 
Contoh Ayat: Kebanyakan para nelayan menghadapi kesukaran untuk mencari makan kerana masalah pencemaran pantai yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. 




SIMPULAN BAHASA : 27
Cari Muka 
Maksud: Mengusahakan sesuatu untuk mendapatkan pujian atau ganjaran. 
Contoh Ayat: Dia sengaja cari muka ketika pengurus ada. 

Cari Nama = Mencari Nama 
Maksud: Berusaha untuk menjadikan namanya dikenali ramai. 
Contoh Ayat: Siti Nurhaliza mencari nama dengan melibatkan diri dalam bidang nyanyian.

Cari Rezeki 
Maksud: Bekerja atau mencari rezeki. 
Contoh ayat : Usaha Harraz mencari rezeki di Russia berhasil apabila dia Berjaya membuka sebuah lading epal di sana.

Cari Salah 
Maksud: Berusaha untuk mengetahui kesalahan orang. 
Contoh Ayat: Omar cuba mencari salah Zainal dengan membuka semula laporan peribadi kawannya itu. 

Cari Seteru 
Maksud: Mencari sebab untuk memulakan pergaduhan. 
Contoh ayat : Ikhwan sengaja mencari seteru dengan memburukkan Erisya.

Cecah Bahu = Mencecah Bahu 
Maksud: Sampai ke paras bahu. 
Contoh Ayat: Rambut anak gadisnya dibiarkan panjang hingga mencecah bahu. 

Cecah Bumi = Mencecah Bumi 
Maksud: Jejak ke bumi. 
Contoh Ayat: Pohon teratai tumbuh di air dan akarnya tidak mencecah bumi. 

Cepat Lidah 
Maksud: Orang yang suka bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu. 
Contoh Ayat: Sikap pengerusi mesyuarat yang cepat lidah menyebabkan kami berasa tersinggung. 

Cepat Mulut 
Maksud: Orang yang tidak tahan menyimpan rahsianya. 
Contoh Ayat: Sikap Murni yang cepat mulut menyebabkan rakan-rakan menjauhinya. 




SIMPULAN BAHASA : 28
Cepat Tangan 
Maksud: Orang yang suka mencuri. 
Contoh Ayat: Akibat perangainya yang cepat tangan, dia ditangkap polis. 

Cerai Hidup 
Maksud: Suami isteri yang bercerai ketika hidup. 
Contoh Ayat: Kamisah bercerai hidup dengan suaminya sejak sepuluh tahun lalu. 

Cerai Kasih = Bercerai Kasih 
Maksud: Putus percintaan. 
Contoh Ayat: Akibat bercerai kasih dengan tunangannya, dia membawa diri ke ibu kota. 

Cerai Mata = Bercerai Mata 
Maksud: Berpisah. 
Contoh Ayat: Sejak bercerai mata dengan ibunya, anak kecil itu sering menangis. 

Cerai Mati = Bercerai Mati 
Maksud: Suami isteri yang bercerai kerana salah seorang daripadanya meninggal dunia. 
Contoh Ayat: Kalsom bercerai mati dengan suami yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. 

Cerai Susu = Bercerai Susu 
Maksud: Bayi yang telah berhenti menghisap susu. 
Contoh Ayat: Bayi itu telah diberikan makanan pejal sejak bercerai susu. 

Cerita Burung 
Maksud: Berita yang tidak berasas. 
Contoh Ayat: Jangan percaya dengan berita yang dikhabarkan oleh Si Husam kerana itu cerita burung belaka. 

Cermin Bangkai = Bercermin Bangkai 
Maksud: Menanggung malu akibat sesuatu kejadian. 
Contoh Ayat: Kejadian malang yang menimpa dirinya menjadikan dia berasa seperti hidup bercerminkan bangkai.

Cuci Perut 
Maksud: Membersihkan perut dengan julap dan lain-lain. 
Contoh Ayat: Doktor menyuruh saya cuci perut sebelum pembedahan dilakukan. 


SIMPULAN BAHASA : 29
Cuci Mata 
Maksud: 
a) Melihat pemandangan yang cantik. 
b) Melihat perempuan yang cantik-cantik. 
Contoh Ayat: 
a) Semasa bercuti di Air Terjun Lasir dapatlah kami mencuci mata melihat
     keindahan alam semula jadi di sekitarnya. 
b) Kasim suka duduk-duduk di serambi rumahnya sambil mencuci mata melihat
     gadis yang lalu di hadapan rumahnya. 

Cuci Tangan 
Maksud: Tidak bertanggungjawab atas sesuatu yang telah dilakukan. 
Contoh Ayat: Dia cuci tangan setelah melanggar kambing kepunyaan Mutusamy. 

Cucur Keringat 
Maksud: Bekerja keras. 
Contoh Ayat: Nasir terpaksa cucur keringat untuk mengisi perut anaknya yang lima orang itu. 

Cupak Hanyut 
Maksud: Lenggang yang lembut. 
Contoh Ayat: Guru besar menegur murid-murid yang jalan berlenggang macam cupak hanyut ke sekolah.  

Curi Hati = Mencuri Hati 
Maksud: Memikat hati. 
Contoh Ayat: Tingkah laku Soleha yang lemah lembut telah mencuri hati Saleh. 

Curi Tulang 
Maksud: Pemalas. 
Contoh Ayat: Orang lain sibuk bekerja di dapur tetapi dia curi tulang dengan berbual-bual di serambi.

Dabik Dada = Mendabik Dada
Maksud: Menunjuk-nunjukkan keberanian atau kebanggaan.
Contoh Ayat: Dia mendabik dada dan mencabar sesiapa sahaja yang berani menentangnya.

Dagang Piatu
Maksud: Orang asing yang tidak mempunyai saudara-mara.
Contoh Ayat: Ameer berasal dari Bangladesh dan dia dagang piatu di Malaysia.


SIMPULAN BAHASA : 30

Daki Dunia
Maksud: Harta dunia.
Contoh Ayat: Hidup mesti amanah, jangan mudah terpengaruh dengan daki dunia.

Dakwat Tumpah
Maksud: Hitam pekat.
Contoh Ayat: Rambut Kushbu yang bagai dakwat tumpah itu sungguh cantik dipandang.

Dalam Kekeringan
Maksud: Sewaktu seseorang itu tidak mempunyai wang.
Contoh Ayat: Saya dalam kekeringan bulan ini kerana terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membaiki kereta saya yang rosak.

Dalam Tangan
Maksud: Sesuatu yang pasti akan dimiliki.
Contoh Ayat: Pasukan SKTB berjaya ke perlawanan akhir ragbi rimau Daerah Kinta, sekurang-kurangnya untuk menjadi naib juara sudah dalam tangan.

Dapat Hati
Maksud: Beroleh cinta, cinta yang berbalas.
Contoh Ayat: Sejak dapat hati daripada gadis sebelah rumah, Azzim sering kelihatan tersenyum sendirian.

Dapat Khabar = Mendapat Khabar
Maksud: Menerima berita.
Contoh Ayat: Pak Leman mendapat khabar anaknya menjadi pelajar terbaik di United Kingdom.

Dapat Malu = Mendapat Malu
Maksud: Menanggung malu.
Contoh Ayat: Ah Ping mendapat malu apabila dia ditangkap kerana mengedar dadah.

Dapat Nama = Mendapat Nama
Maksud: Menjadi terkenal.
Contoh Ayat: Irdinahuda mendapat nama setelah memenangi hadiah pertama peraduan mengarang cerpen.

Dapat Terpijak
Maksud: Mendapat sesuatu dengan mudah atau tidak disangka-sangka.
Contoh Ayat: Zailan dapat terpijak hadiah bonus yang bernilai RM5000.

No comments:

Post a Comment