Thursday, 21 May 2015

Simpulan Bahasa : Anak angkat - ayam tambatan

SIMPULAN BAHASA : 1
Abang Angkat
Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.
Contoh Ayat: Hamid mempunyai seorang abang angkat bernama Hamzah.

Abang Ipar
Maksud: Suami kepada kakak sendiri; abang kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Hafiz ialah abang ipar Umar.

Abang Kandung
Maksud: Abang yang seibu sebapa.
Contoh Ayat: Liza tinggal bersama abang kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.

Abu Angin
Maksud: Telah musnah sama sekali.
ContohAyat: Setelah diserang oleh pasukan bersekutu, bandar itu menjadi abu angin.
 
Abu Jahal
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat: Abu Jahal kampung ini telah diberkas polis awal pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan.

Abu Lahab
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat : Sikapnya yang tak ubah seperti Abu Lahab itu menyebabkan dia dibenci oleh semua orang.

Abu Nawas
Maksud: Orang yang suka berhelah.
Contoh Ayat: Kami memanggilnya Abu Nawas kerana dia pandai berhelah apabila ditanya tentang sesuatu.

Ada Akal
Maksud: Cara menyelesaikan sesuatu masalah / idea
Contoh Ayat: Soleha ada akal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh ayahnya.

Ada Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.
Contoh Ayat: Salimah ada angin, ada kalanya dia peramah dan ada kalanya pula dia marah-marah.

SIMPULAN BAHASA : 2

Ada Bakat
Maksud: Berkebolehan dalam sesuatu lapangan
Contoh Ayat: Izzah ada bakat menjadi penulis novel.

Ada Can
Maksud: Ada peluang.
Contoh Ayat: Berasarkan kebolehannya, Ramlan ada can memenangi pertandingan itu.

 Ada Gaya
Maksud: Ada ciri-ciri yang memperlihatkan kebolehannya.
Contoh Ayat: Ruzaini ada gaya menjadi pelakon filem kerana dia tinggi dan tampan.

Ada Hati
Maksud: Keinginan.
Contoh Ayat: Walaupun berpendapatan kecil Asyraf ada hati hendak membuka perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

Ada Jalan

Maksud: Ada cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Hamdan ada jalan untuk membiayai perbelanjaan anaknya di institusi pengajian tinggi iaitu dengan membuat pinjaman di bank.
 
Adat Balai
Maksud: Adat dalam istana raja.
Contoh Ayat: Semasa di dalam istana kamu hendaklah menjaga adat balai.

Adik Angkat
Maksud: Seseorang yang telah diakui sebagai adik sendiri tetapi tidak mempunyai pertalian darah.
Contoh Ayat: Jamilah adik angkat saya, ibunya menyerahkan dia kepada keluarga kami untuk dipelihara.

Adik Ipar
Maksud: Adik kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Adik ipar saya seorang doktor.

Adik Kandung
Maksud: Adik daripada ibu bapa yang sama; seibu sebapa.
Contoh Ayat: Sulaiman sedang mencari adik kandungnya, Hasnah yang telah terpisah sejak sepuluh tahun lalu.

SIMPULAN BAHASA : 3

Adu Buku = Beradu Buku
Maksud: Bertinju.
Contoh Ayat: Samad beradu buku dengan Wahid.

Adu Domba = Mengadu Domba
Maksud: Melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain. Contoh Ayat: Pendatang baru di kampung itu suka mengadu domba pemuda di kampung ini dengan pemuda dari kampung seberang.

Adu Kening = Beradu Kening
Maksud: Berhadap-hadapan muka.
Contoh Ayat: Walaupun kami duduk beradu kening di majlis tetapi kami tidak sempat berbual panjang.

Adu Lengan = Beradu Lengan
Maksud: Beradu kekuatan.
Contoh Ayat: Wira dan Jaka beradu lengan di hadapan gadis itu.

Adu Nasib = Mengadu Nasib
Maksud: Mencari rezeki.
Contoh Ayat: Hamidin datang dari seberang dan cuba mengadu nasib di negara ini kerana di sini banyak peluang pekerjaan.

Adu Untung
Maksud: Mencari rezeki.
Contoh Ayat : Sebelum menjadi jutawan, Solehah bersama keluarganya adu untung dengan hanya menjual nasi lemak di tepi jalan.

Air Mandi
Maksud: Sudah menjadi kebiasaan.
Contoh Ayat: Bekerja mengangkat bata di bawah panas matahari sudah menjadi air mandi kepada Jeha kerana itulah tugas yang perlu dilakukannya setiap hari.

Air Muka
Maksud: a) Wajah b) Maruah
Contoh Ayat:
a) Air muka Munirah menjadi muram apabila ibunya melarang dia bermain-main di padang.
b) "Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di khalayak ramai," kata Iman kepada Najihah.



SIMPULAN BAHASA : 4

Air Pasang
Maksud: Paras air laut yang meningkat.
Contoh Ayat: Apabila air pasang, kawasan pantai itu akan ditenggelami air.

Air Setaman
Maksud: Air yang bercampur bunga-bungaan dan limau untuk dibuat mandi.
Contoh Ayat: Ibu yang mengandung tujuh bulan itu dimandikan dengan air setaman.

Air Surut
Maksud: Paras air laut yang turun.
Contoh Ayat: Kami berjalan-jalan di pantai sewaktu air surut.

Ajak-Ajak ayam
Maksud: Mempelawa secara tidak bersungguh-sungguh.
Contoh Ayat: Mujur dia tidak mahu mengikut saya kerana saya hanya ajak-ajak ayam.

Akal Belut
Maksud: Orang yang pandai tipu muslihat.
Contoh Ayat: Dengan akal belutnya dia dapat membeli tanah di kawasan ini dengan harga yang murah.

Akal Kancil
Maksud: Orang yang pandai tipu muslihat.
Contoh Ayat : Dalam filem itu, Epit bijak menggunakan akal kancil untuk melepaskan diri daripada penjahat.

Akal Sejengkal
Maksud: Orang yang berasa dirinya lebih daripada orang lain.
Contoh Ayat: Dalam perbincangan itu dia selalu menggunakan akal sejengkalnya untuk menarik perhatian orang lain.

Alas Cakap
Maksud: Kata pendahuluan sebelum persoalan utama diperkatakan.
Contoh Ayat: Alas cakap yang disampaikan oleh pengerusi majlis forum itu menjadi pencetus kepada persoalan yang akan diperkatakan.

Alas Perut
Maksud: Makan sedikit.
Contoh Ayat: Lina makan sekeping roti sebagai alas perut sebelum ke sekolah.


SIMPULAN BAHASA : 5

Alih Akal = Beralih Akal
Maksud: Berubah pendapat atau fikiran.
Contoh Ayat: Dia beralih akal dan tidak jadi berpindah ke Sarawak.

Alih Angin = Beralih Angin
Maksud: Berpindah tempat tinggal.
Contoh Ayat: Setelah beralih angin ke Sarawak, penyakitnya beransur pulih.

Alih Muka = Beralih Muka
Maksud: Menyamar.
Contoh Ayat: Dia beralih muka ketika menghadiri majlis itu supaya tidak dikenali.

Alim Kucing
Maksud: Pura-pura baik.
Contoh Ayat: Si Dayan alim kucing di hadapan orang kampung sedangkan dialah yang menjadi dalang dalam kes-kes kecurian di kampungnya.

Aliran Masa
Maksud: Perubahan masa.
Contoh Ayat: Kita hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat sesuai dengan aliran masa kini.

Ambil Abu
Maksud: Maksud yang tidak kesampaian.
Contoh Ayat: Persidangan itu tidak berhasil, masing-masing pulang ambil abu sahaja.

Ambil Ada
Maksud: Berpuas hati dengan apa yang ada.
Contoh Ayat: Buat rujukan lanjut tentang projek kamu itu di perpustakaan, jangan ambil ada sahaja, kata Cikgu Anuar kepada murid 6 Delima.

Ambil Angin
Maksud: Bersiar-siar mengambil udara bersih.
Contoh Ayat: Keluarga Auni ambil angin di tepi pantai pada setiap petang.

Ambil Bahagian
Maksud: Menyertai.
Contoh Ayat: Ainool ambil bahagian dalam pertandingan pidato peringkat daerah.

Ambil Berat
Maksud: Beri perhatian.
Contoh Ayat: Ibu dan ayah sangat ambil berat terhadap prestasi pelajaran kami.
SIMPULAN BAHASA : 6

Ambil Haluan = Mengambil Haluan
Maksud: Membuat keputusan dalam sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Berhati-hati ketika ambil haluan supaya rancangan kita nanti akan memberikan hasil yang lumayan.

Ambil Hati
Maksud: Berasa tersinggung.
Contoh Ayat: Jangan ambil hati akan kata-katanya kerana dia menasihati untuk kebaikan.

Ambil Ibarat
Maksud: Menjadikan sesuatu sebagai teladan.
Contoh Ayat: Kita patut ambil ibarat daripada kejadian yang berlaku pada tahun lepas.

Ambil Ingatan
Maksud: Dimasukkan ke dalam ingatan; memberi perhatian.
Contoh Ayat: Para pelajar perlu ambil ingatan akan nasihat guru besar dalam perhimpunan pagi tadi.

Ambil Muka = Mengambil Muka
Maksud: Membuat sesuatu supaya disukai.
Contoh Ayat: Syarif pandai ambil muka apabila berada bersama-sama kaum keluarganya, sebab itulah dia disukai.

Ambil Sumpah = Mengambil Sumpah
Maksud: Disuruh bersumpah; melakukan sumpah.
Contoh Ayat: Azhar ambil sumpah bahawa dia menyaksikan kejadian itu.

Ambil Tahu = Mengambil Tahu
Maksud: Memberi perhatian tentang sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Dia sentiasa ambil tahu tentang aktiviti surau di kawasannya.

Anak Adam
Maksud: Umat manusia.
Contoh Ayat: Penyakit AIDS akan memusnahkan semua anak Adam jika langkah-langkah pencegahannya tidak diambil.

Anak Air
Maksud: Sungai kecil.
Contoh Ayat: Di dalam kebun ayah saya ada sebatang anak air yang digunakan untuk mengairi tanaman.

SIMPULAN BAHASA : 7

Anak Baju
Maksud: Baju dalam.
Contoh Ayat: Ibu sering menasihati saya supaya sentiasa memakai anak baju.

Anak Buah
Maksud: a)Anak saudara. b) Pekerja di bawah jagaan kita.
Contoh Ayat: a) Halim memikul tanggungjawab menjaga anak buahnya semasa kakaknya pergi menunaikan haji ke Makkah.
Contoh Ayat: b) Kerja-kerja itu telah disiapkan oleh anak buah saya siang tadi.

Anak bukit
Maksud: Bukit kecil.
Contoh Ayat: Rumah Nabillah terletak berhampiran anak bukit itu.

Anak Didik
Maksud: Orang di bawah jagaan kita.
Contoh Ayat: Guru besar sedang memberikan taklimat kepada anak didiknya.

Anak Emas
Maksud: Orang yang sangat disayangi.
Contoh Ayat: Encik Karupan menjadi anak emas syarikat itu kerana kejujuran dan kesetiaannya.

Anak Gahara
Maksud: Anak raja yang berbondakan keturunan bangsawan.
Contoh Ayat: Tengku Ahmad ialah anak gahara Sultan Sulaiman dengan Tengku Puteri Halijah.

Anak Jantan
Maksud: Lelaki yang berani.
Contoh Ayat: Rahimi memang anak jantan kerana sanggup berjuang menegakkan kebenaran demi maruah keluarganya.

Anak Kandung
Maksud: Anak sendiri.
Contoh Ayat: Zainab merupakan anak kandung Pak Ali dengan isteri pertamanya.

Anak Kapal
Maksud: Orang yang bekerja dalam sesebuah kapal.
Contoh Ayat: Ketika bekerja sebagai anak kapal, saya berpeluang menjejakkan kaki di benua Eropah.


SIMPULAN BAHASA : 8

Anak Negeri
Maksud: Penduduk di sesebuah negeri.
Contoh Ayat: Anak negeri Perak digalakkan menceburkan diri dalam perusahaan desa.

Anak Yatim / Piatu
Maksud: Anak yang telah kematian ayah dan ibu.
Contoh Ayat: Setelah menjadi anak piatu Husin terpaksa tinggal di Asrama Bakti.

Anak Pungut
Maksud: Anak orang yang dipelihara seperti anak sendiri.
Contoh Ayat; Walaupun Maznah hanya anak pungut dalam keluarga itu, dia tidak pernah disisihkan.

Anak Tunggal
Maksud: Anak yang tidak mempunyai adik beradik lain.
Contoh Ayat: Lingeswaran merupakan anak tunggal dan menjadi kesayangan ibu bapanya.

Anak Tut
Maksud: Anak orang yang dipelihara seperti anak sendiri.
Contoh Ayat; Sejak kematian ibu dan bapanya, Rohani dipelihara sebagai anak tut oleh keluarga Haji Salman.

Angkat Alis = Mengangkat Alis / Angkat Kening
Maksud: Kehairanan.
Contoh Ayat: Natasya mengangkat alis apabila melihat hadiah misteri yang dimenanginya.

Angkat Bahu
Maksud: Tidak tahu atau tidak bertanggungjawab.
Contoh Ayat: Mei Lan hanya angkat bahu apabila ditanya tentang kucing yang mati itu.

Angkat Diri
Maksud: Sombong.
Contoh Ayat: Jangan suka angkat diri, nanti orang lain tidak mahu berkawan dengan kamu, kata Cikgu Jahar kepada Khalid.

Angkat Kaki
Maksud: Pergi meninggalkan.
Contoh Ayat: Syamsul angkat kaki apabila Ali mengusiknya.

SIMPULAN BAHASA : 9

Angkat Mata
Maksud: Menentang sesuatu tindakan.
Contoh Ayat: Hakim tidak berani angkat mata ketika dileter ibunya.

Angkat Nama
Maksud: Terkenal.
Contoh Ayat: Awie sudah angkat nama dalam bidang nyanyian.

Angkat Senjata
Maksud: Berperang.
Contoh Ayat: Apabila tiba masanya kerajaan Nagasari pun angkat senjata menyerang musuh.

Angkat Suara
Maksud: Meninggikan suara.
Contoh Ayat: Hormatilah orang tua-tua, jangan angkat suara apabila bercakap dengan mereka.

Angkat Sumpah
Maksud: Disuruh bersumpah; melakukan sumpah.
Contoh Ayat; Sebelum mendaftar sebagai anggota polis, mereka perlu angkat sumpah untuktaat setia kepada negara.

Anjing Hitam
Maksud: Orang jahat yang selalu menunjuk-nunjukkan keburukannya.
Contoh Ayat: Seng Hai telah lama menjadi anjing hitam yang sering memeras ugut masyarakat pelombong di situ.

Anjing Kurap
Maksud: Orang yang dipandang hina kerana kemiskinannya.
Contoh Ayat: Hidup Rama seperti anjing kurap yang melarat ke sana ke mari.

Api Peperangan
Maksud: Perselisihan antara negara yang biasanya boleh memulakan peperangan.
Contoh Ayat: Pulau yang menjadi rebutan kedua-dua buah negara itu boleh menyebabkan tercetusnya api peperangan.

Api Percintaan
Maksud: Perasaan cinta yang meluap-luap.
Contoh Ayat: Api percintaan sedang membara dijiwa Adam dan Maya.


SIMPULAN BAHASA : 10

Arang Di Dahi
Maksud: Mendapat malu.
Contoh Ayat: Terhapuslah arang di dahi Encik Linges setelah pihak mahkamah membuktikan dia tidak bersalah.

Arang Di Kening / Arang Di Muka
Maksud: Mendapat malu.
Contoh Ayat; Kelakuan memalukan yang dilakukan oleh Fetty itu menyebabkan seluruh keluarganya mendapat arang di muka.


Asam Garam
Maksud: Pengalaman.
Contoh Ayat: Terlalu banyak asam garam kehidupan yang telah dilalui oleh Pak Dollah.

Atas Angin
Maksud: Negeri-negeri di Timur Tengah dan Eropah.
Contoh Ayat: Pada musim cuti ini, kami sekeluarga bercadang untuk melawat negara-negara atas angin.

Atas Nama
Maksud: Menjadi wakil seseorang atau pertubuhan.
Contoh Ayat: Saya menghadiri mesyuarat ini atas nama Tuk Penghulu Kampung Sengat.

Atas Pagar:
Maksud: Tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Contoh Ayat: Dalam pertandingan ini, saya hanya penonton atas pagar kerana meminati kedua-dua pasukan itu.

Ayam Jalak:
Maksud: Orang yang berani.
Contoh Ayat: Sudin digelar ayam jalak Kampung Pegaga kerana telah berjaya menangkap buaya yang telah membaham dua orang penduduk kampung tersebut.

Ayam Tambatan:
Maksud: Orang yang banyak pengalaman dan menjadi harapan (biasanya dalam pasukan permainan).
Contoh Ayat: Ahmad menjadi ayam tambatan pasukan bola sepak negeri Johor kerana kehandalannya menjaringkan gol.

No comments:

Post a Comment