Thursday, 21 May 2015

Simpulan bahasa : babi buta - buka tanah

SIMPULAN BAHASA : 11

Babi Buta = Membabi Buta 
Maksud: Berbuat sesuatu tanpa banyak berfikir. 
Contoh Ayat: Serangan yang membabi buta itu telah menyebabkan ramai orang awam terkorban. 

Bahasa Ibunda 
Maksud: Bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kaum. 
Contoh Ayat: Bahasa ibunda Mei Lin ialah bahasa Mandarin. 

Bahasa Kasar = Berbahasa Kasar 
Maksud: Bahasa yang tidak sopan untuk digunakan. 
Contoh Ayat: Ratna mengeluarkan bahasa kasar semasa bergaduh dengan kakaknya. 

Bahasa Pasar 
Maksud: Bahasa Melayu yang tidak betul tatabahasanya. 
Contoh Ayat: Jangan menggunakan bahasa pasar apabila membuat karangan. 

Baik Hati  / Baik Budi
Maksud: Bersikap baik dan penyayang (suka menolong). 
Contoh Ayat: Nenek memang baik hati. Dia sering menghulurkan derma kepada rumah anak-anak yatim. 

Baik Sangka 
Maksud: Berpendapat yang orang lain baik.
Contoh Ayat: Kita hendaklah sentiasa bersikap baik sangka terhadap semua orang. 

Balas Budi = Membalas Budi 
Maksud: Balas jasa dan berterima kasih. 
Contoh Ayat: Jiman menyara kos perubatan ibu angkatnya sebagai membalas budi keluarga angkatnya itu. 

Balik Gagang = Berbalik Gagang 
Maksud: Berpihak kepada musuh. 
Contoh Ayat: Akibat rasa tidak puas hati terhadap ketuanya, Farish telah berbalik gagang dengan membocorkan rahsia syarikatnya. 

Balik Hati = Berbalik Hati 
Maksud: Berubah pendirian. 
Contoh Ayat: Dia telah berbalik hati dan tidak jadi meninggalkan kampungnya. 


SIMPULAN BAHASA : 12

Bangkai Bernyawa 
Maksud: Orang yang tidak berguna. 
Contoh Ayat: Kehidupan seorang penagih dadah ibarat bangkai bernyawa. 

Bantal Lengan = Berbantal Lengan 
Maksud: Kehidupan yang terlalu miskin. 
Contoh Ayat: Kehidupannya yang berbantal lengan menyebabkan dia jarang bergaul dengan jiran tetangganya. 

Banting Tulang = Membanting Tulang 
Maksud: Bekerja bermati-matian. 
Contoh Ayat: Ayah membanting tulang mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga. 

Banyak Akal 
Maksud: Banyak helah. 
Contoh Ayat: Leman banyak akal apabila diminta membayar hutangnya. 

Banyak Cakap / Banyak Mulut
Maksud: Orang yang suka berleter. 
Contoh Ayat: Laili banyak cakap sehingga pening kepala saya mendengarnya. 

Basuh Mulut = Pembasuh Mulut 
Maksud: Sajian manis atau buah-buahan yang dijadikan hidangan selepas makan. 
Contoh Ayat: Selepas makan tengah hari saya makan buah tembikai sebagai pembasuh mulut. 

Batu Api 
Maksud: Orang yang suka menghasut.
Contoh Ayat: Dalam pergaduhan itu Si Mamatlah batu apinya. 

Batu Loncatan 
Maksud: Sesuatu yang dijadikan permulaan untuk mencapai hajat yang lebih besar. 
Contoh Ayat: Kursus membuat makanan ini hanyalah batu loncatan sebelum saya bergiat cergas dalam perusahaan makanan. 

Bau-Bau Bacang 
Maksud: Persaudaraan yang jauh. 
Contoh Ayat: Saya mesti melawat Hilmi apabila ke Terengganu kerana kami memang ada bau-bau bacang. 

SIMPULAN BAHASA : 13

Bawa Alamat 
Maksud: Memberi tanda. 
Contoh Ayat: Langit gelap bawa alamat hari akan hujan. 

Bawa Hati  / Bawa Diri
Maksud: Merajuk. 
Contoh Ayat: Setelah pinangannya ditolak, Amar bawa hati dan belayar ke negeri orang. 

Bawa Hidup / Bawa Nasib
Maksud: Merantau mencari penghidupan. 
Contoh Ayat: Mydin bawa hidup ke Malaysia untuk mencari pendapatan yang halal. 

Bawa Mulut 
Maksud: Bercerita tentang keburukan orang lain. 
Contoh Ayat: Harisah sering bawa mulut tentang kelakuan bekas kekasihnya. 

Bawa Nyawa 
Maksud: Menyelamatkan diri. 
Contoh Ayat: Masing-masing bawa nyawa dengan lari bertempiaran ketika gempa bumi berlaku. 

Bawa Sial = Membawa Sial 
Maksud: Mendatangkan malang. 
Contoh Ayat: Tiada siapa yang membawa sial. Semuanya telah ditakdirkan Tuhan. 

Bawa Tempurung 
Maksud: Minta sedekah. 
Contoh Ayat: Kita masih gagah dan kuat. Kita tidak perlu bawa tempurung. 

Bawa Tuah = Membawa Tuah 
Maksud: Mendatangkan keuntungan. 
Contoh Ayat: Tindakan Ahmad membeli anak syarikat itu membawa tuah kepada perniagaannya. 

Bawah Angin 
Maksud: Negeri-negeri di sebelah Timur. 
Contoh Ayat: Kapal itu belayar ke negeri bawah angin. 



SIMPULAN BAHASA : 14

Bawah Bendera 
Maksud: Berada dalam perlindungan sesuatu kuasa. 
Contoh Ayat: Pada suatu masa dahulu negeri-negeri di Tanah Melayu berada bawah bendera Inggeris. 

Bawah Tanah 
Maksud: Pergerakan rahsia atau pergerakan gelap. 
Contoh Ayat: Ketika zaman darurat, tentera komunis menjalankan pergerakan bawah tanah. 

Bayar Nyawa 
Maksud: Mengorbankan diri. 
Contoh Ayat: Mak Melur sanggup bayar nyawa untuk mendapatkan hak penjagaan anak lelakinya daripada bekas suaminya. 

Bekas Tangan 
Maksud: Sesuatu yang diusahakan. 
Contoh Ayat: "Terendak yang cantik ini adalah bekas tangan Syamsiah," kata Pak Jahar memuji menantunya. 

Belah Bumi = Membelah Bumi 
Maksud: Bunyi yang sangat kuat. 
Contoh Ayat: Petir yang membelah bumi petang tadi amat menakutkan saya. 

Belah Hati = Berbelah Hati 
Maksud: Tidak tetap pendirian dalam mengambil sesuatu keputusan. 
Contoh Ayat: Usahlah berbelah hati untuk meninggalkan keluarga demi mencari masa depan yang lebih baik. 

Belahan Hati 
Maksud: Orang yang sangat dikasihi. 
Contoh Ayat: Anak bongsunya itulah belahan hatinya. 

Belakang Hari 
Maksud: kehidupan masa hadapan 
Contoh Ayat: "Berusahalah dengan bersungguh-sungguh, supaya hidup kamu senang belakang hari," nasihat ayah kepada abang. 

Bendera Putih 
Maksud: Mengaku kalah. 
Contoh Ayat: Tentera Siam terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak sanggup menentang serangan kerajaan Melaka yang hebat itu. 

SIMPULAN BAHASA : 15
Bengkak Perut 
Maksud: Berasa dengki atau sakit hati kerana sesuatu. 
Contoh Ayat: Rajan bengkak perut apabila ibunya menghadiahkan abangnya sebuah basikal. 

Berani Lalat 
Maksud: Pura-pura berani. 
Contoh Ayat: Dia berani lalat sahaja apabila mengaku akan menjaga dusun durian pada waktu malam. 

Berani Mati 
Maksud: Tidak takut mati. 
Contoh Ayat: Angkatan Tentera Malaysia berani mati dalam mempertahankan tanah air tercinta.

Berat Bibir 
Maksud: Orang yang pendiam. 
Contoh Ayat: Murid baharu itu berat bibir tetapi sangat bijak. 

Berat Hati 
Maksud: Kurang senang. 
Contoh Ayat: Berat hati saya melepaskan dia pergi ke luar negara. 

Berat Kaki 
Maksud: Malas. 
Contoh Ayat: Dia berat kaki untuk ke pesta hari jadi temannya kerana demam. 

Berat Lidah 
Maksud: Tidak dapat berkata-kata. 
Contoh Ayat: Berat lidah Jimah hendak menceritakan hal sebenar kepada ibunya. 

Berat Mata 
Maksud: Mengantuk. 
Contoh Ayat: Baru pukul sembilan malam adik sudah berat mata. 

Berat Mulut 
Maksud: Orang yang pendiam. 
Contoh Ayat : Murid-murid sekelasnya tidak begitu gemar bergaul dengan Kuhan kerana dia berat mulut.

Berat Sebelah 
Maksud: Tidak adil. 
Contoh Ayat: Sikap pengadil yang berat sebelah itu mengecewakan kami. 
SIMPULAN BAHASA : 16
Berat Tangan / Berat Tulang
Maksud: Pemalas. 
Contoh Ayat: Saedah memang berat tangan. Dia hanya tidur dan tidak mahu menolong kakaknya di dapur. 

Beri Jalan 
Maksud: Beri pendapat atau fikiran dalam menyelesaikan sesuatu perkara. 
Contoh Ayat: "Beri jalan untuk menyelesaikan masalah adik kamu ini," kata ibu kepada abang. 

Beri Muka 
Maksud: Memanjakan. 
Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas. 

Berita Hangat 
Maksud: Berita baharu yang menjadi perbualan. 
Contoh Ayat: Kisah seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang bijak Matematik menjadi berita hangat dalam semua akhbar tempatan. 

Besar Cakap 
Maksud: Orang yang suka bercakap sombong. 
Contoh Ayat: Akmal besar cakap sahaja tetapi dia sebenarnya bukanlah orang yang berharta. 

Besar Hati = Berbesar Hati 
Maksud: Gembira. 
Contoh Ayat: Datuk Kamarudin berbesar hati kerana diberikan sambutan meriah oleh orang bawahannya. 

Besar Kepala 
Maksud: Tidak mahu mendengar nasihat, degil. 
Contoh Ayat: Lajim menjadi besar kepala semenjak kematian ayahnya. 

Besar Mulut 
Maksud: Suka bercakap besar. 
Contoh Ayat: "Jangan suka besar mulut menceritakan kekayaan keluarga kita yang tak seberapa," kata kakak. 

Besar Perut 
Maksud: Hamil. 
Contoh Ayat: Kami bakal mendapat anak saudara kerana kakak sudah besar perut. 


SIMPULAN BAHASA : 17
Betul Bendul 
Maksud: Orang yang lurus dan ada kalanya bodoh. 
Contoh Ayat: Si Luncai memang betul bendul, sebab itulah orang suka mempermain-mainkannya. 

Biang Keladi 
Maksud: Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan. 
Contoh Ayat: Rajalah yang menjadi biang keladinya dalam kes kecurian lembu baru-baru ini. 

Bidan Tarik /Bidan terjun
Maksud: Membuat sesuatu secara tiba-tiba. 
Contoh Ayat: Majlis keraian itu diadakan secara bidan tarik menyebabkan ramai yang tidak hadir. 

Bintang Gelap 
Maksud: Bernasib malang. 
Contoh Ayat: Kehidupannya umpama bintang gelap setelah kakinya dipotong akibat kecederaan serius yang dialaminya dalam kemalangan tempoh hari. 

Bintang Hati 
Maksud: Orang kesayangan kekasih. 
Contoh Ayat: Zahid berasa gelisah kerana bintang hatinya akan ke luar negara. 

Bintang Terang 
Maksud: Nasib baik. 
Contoh Ayat: Sejak tamat pelajaran, dia berbintang terang kerana mendapat pekerjaan yang baik. 

Bongkok Sabut 
Maksud: Bongkok sedikit. 
Contoh Ayat: Pemuda yang bongkok sabut itulah suami saya. 

Bongkok Udang 
Maksud: Terlalu bongkok kerana tua. 
Contoh Ayat: Nenek yang bongkok udang itu masih kuat membuat kerja-kerja di kebunnya. 

Buah Bibir / Buah Mulut / Buah cakap
Maksud: Perkara yang menjadi perbualan ramai. 
Contoh Ayat: Kisah pendakian Gunung Everest itu masih menjadi buah bibir rakyat Malaysia. 


SIMPULAN BAHASA : 18
Buah Fikiran 
Maksud: Pendapat. 
Contoh Ayat: Dalam mesyuarat, buah fikiran ahli yang hadir perlu diambil kira. 

Buah Hati 
Maksud: Orang kesayangan / kekasih. 
Contoh Ayat: Abang asyik termenung teringatkan buah hatinya yang berada di London.

Buah Helah 
Maksud: Mencari helah. 
Contoh Ayat : Buah helah yang digunakan oleh kanak-kanak itu telah berjaya mengelirukan pencuri.

Buah Kalam / Buah Pena
Maksud: Hasil tulisan atau karya. 
Contoh Ayat: Novel itu adalah buah kalam Hamid yang pertama. 

Buah Tangan 
Maksud: Hadiah. 
Contoh Ayat: Kami membawa buah tangan semasa melawat Hilmi di hospital. 

Bual Kosong 
Maksud: Bercakap tentang perkara yang tidak penting. 
Contoh Ayat: Ajeerah dan Badariah suka berbual kosong di serambi rumah. 

Buang Adat 
Maksud: Tidak menggunakan sesuatu adat lagi. 
Contoh Ayat: Kita perlu buang adat yang menyalahi hukum agama. 

Buang Air Besar 
Maksud: Berak. 
Contoh Ayat: Hari ini sudah tiga kali dia buang air besar. 

Buang Air Kecil 
Maksud: Kencing. 
Contoh Ayat: Penyakit batu karang menyebabkan penghidapnya berasa sakit ketika membuang air kecil. 

Buang Arang Di Muka 
Maksud: Menghilangkan malu. 
Contoh Ayat: Pak Lah menjelaskan perkara yang sebenarnya kepada jemaah masjid di kampung itu bagi membuang arang di mukanya. 

SIMPULAN BAHASA : 19
Buang Diri = Membuang Diri 
Maksud: Merantau. 
Contoh Ayat: Dia membuang diri setelah difitnah mengganggu anak dara orang. 

Buang Lelah 
Maksud: Berehat untuk meredakan kepenatan. 
Contoh Ayat: Beberapa buah wakaf telah dibina dalam taman rekreasi itu sebagai tempat buang lelah. 

Buang Muka = Membuang Muka 
Maksud: Tidak suka. 
Contoh Ayat: Farhani membuang muka apabila bertemu dengan pemuda yang suka mengganggunya. 

Buang Negeri = Dibuang Negeri 
Maksud: Diperintah keluar dari sesebuah negeri. 
Contoh Ayat: Ken Long dijatuhi hukuman buang negeri, setelah didapati bersalah kerana menyertai kongsi gelap. 

Buang Sauh 
Maksud: Berlabuh. 
Contoh Ayat: Kapal itu buang sauh di pelabuhan yang berhampiran setelah sebulan belayar tanpa henti. 

Buang Tabiat 
Berkelakuan atau bercakap yang aneh, biasanya sewaktu sebelum meninggal dunia.
Contoh ayat : Kelakuan Nenek Timah agak pelik, kata ibu Nenek Timah buang tabiat.

Buang ubat 
Maksud: pekerjaan yang sia-sia. 
Contoh Ayat: Buang ubat sahaja, lebih baik ke padang bermain bola daripada asyik berbual kosong di tepi padang. 

Buat Akal 
Maksud: Mencari helah. 
Contoh Ayat: Dia buat akal apabila disuruh membuat kerja sekolah. 

Buat Bodoh 
Maksud: Pura-pura tidak tahu akan sesuatu. 
Contoh Ayat: Affri buat bodoh apabila orang lain heboh tentang kehilangan motosikal yang diletakkan di depan rumahnya. 

SIMPULAN BAHASA : 20
Buat Perkara / buat hal 
Maksud: Berbuat sesuatu, biasanya perkara yang tidak baik. 
Contoh Ayat: Salina terpaksa berhenti kerja kerana suaminya buat perkara. 

Buaya Darat 
Maksud: Orang yang suka memperdaya perempuan. 
Contoh Ayat: Perangai Pak Ya yang buaya darat itu telah dimaklumi jiran tetangganya. 

Bujur Sirih 
Maksud: Bentuk muka seolah-olah bentuk sirih. 
Contoh Ayat: Wajah Aina yang bujur sirih itu bertambah ayu apabila dia memakai selendang sutera putih. 

Buka Langkah Seribu 
Maksud: Lari kerana takut disebabkan sesuatu. 
Contoh Ayat: Asyraf buka langkah seribu apabila dikejar oleh Pak Malik. 

Buka Mata 
Maksud: a) Melihat dan meluaskan pandangan. b) Menyedarkan atau menginsafkan orang lain. 
Contoh Ayat: 
a) Kunjungan ke Kashmir telah membuka mata saya tentang keindahan alam semula jadinya. 
b) Setelah Nur Aiman berjaya memperoleh Ijazah Sarjana barulah saudara-maranya buka mata. 

Buka Mulut 
Maksud: a) Berkata-kata. b) Mengadu untuk mendapatkan pertolongan. 
Contoh Ayat: 
a) Semua yang ada tidak berani buka mulut apabila melihat Tok Long berang. 
b) Saya terpaksa buka mulut untuk meminjam wang daripadanya. 

Buka Pintu 
Maksud: Memberi peluang. 
Contoh Ayat: Bantuan modal itu telah membuka pintu kepada peniaga kecil untuk memulakan perniagaan mereka. 

Buka Tanah = Membuka Tanah 
Maksud: Mengusahakan tanaman atau membina kawasan kediaman di atas hutan atau tanah yang terbiar. 
Contoh Ayat: Peneroka Felda telah buka tanah untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit. 

No comments:

Post a Comment