Thursday 21 May 2015

Simpulan Bahasa : Darah setampuk pinang - hangat hati

SIMPULAN BAHASA : 31
Darah Baru Setampuk Pinang
Maksud: Masih muda.
Contoh Ayat: Walaupun Ikmal seperti darah baru setampuk pinang dia berani berhadapan dengan musuh di perbatasan.

Darah Daging
Maksud: Anak dan saudara-mara dari keturunan sendiri.
Contoh Ayat: Anak abang saya adalah darah daging saya.

Darah Gemuruh
Maksud: Mudah gugup.
Contoh Ayat: Swee King tewas dalam pertandingan syarahan itu kerana dia darah gemuruh.

Darah Manis
Maksud: Mudah mendapat bahaya atau kecederaan.
Contoh Ayat: Orang yang sedang bertunang dikatakan berdarah manis dan perlu sentiasa berhati-hati apabila melakukan sesuatu kerja.

Darah Panas
Maksud: Cepat marah.
Contoh Ayat: Berhati-hati apabila bercakap dengannya kerana dia darah panas.

Darah Putih
Maksud: Keturunan bangsawan.
Contoh Ayat: Kassim sebenarnya berdarah putih dan nama sebenarnya ialah Raja Kassim bin Raja Alauddin.

Datuk Nenek
Maksud: Leluhur / keturunan
Contoh Ayat: Petua datuk nenek tidak harus dilupakan.

Delima Merekah
Maksud: Warna bibir yang cantik.
Contoh Ayat: Bibirnya yang bagai delima merekah itu sentiasa mengukir senyuman.

Depan Hidung = Di Depan Hidung
Maksud: Terlalu dekat.
Contoh Ayat: Bakul besar yang di depan hidung pun dia tidak nampak, apalagi kalau disuruh mencari jarum.



SIMPULAN BAHASA : 32
Detak Hati
Maksud: Perasaan, kata hati.
Contoh Ayat: Detak hatinya mengatakan bahawa adiknya masih hidup.

Detik Jantung
Maksud: Bunyi degup jantung.
Contoh Ayat: Seakan terhenti detik jantung Ayu apabila mendengar berita kematian sahabat baiknya.

Diam Diri = Berdiam Diri
Maksud: Tidak berkata-kata.
Contoh Ayat: Dia hanya berdiam diri dalam mesyuarat itu.

Diam Penggali
Maksud: Orang yang diam dan memudaratkan dirinya.
Contoh Ayat: Kalau tidak faham hendaklah bertanya, jangan jadi diam penggali.

Diam-Diam Lepu
Maksud: Pada zahirnya nampak baik tetapi sebenarnya jahat dan berbahaya sekali.
Contoh Ayat: Jangan percayakan Azahar itu kerana dia diam-diam lepu.

Diam-Diam Ubi
Maksud: Orang yang diam tetapi pandai dan rajin.
Contoh Ayat: Liyana diam-diam ubi, nampak pendiam tetapi keputusan peperiksaannya sangat cemerlang.

Dingin Hati
Maksud: Tidak riang.
Contoh Ayat: Dila dingin hati di majlis hari jadinya kerana ayahnya telah tiada lagi.

Dingin Kepala
Maksud: Berfikiran tenang dan waras.
Contoh Ayat: Membuat sesuatu keputusan, biarlah ketika dingin kepala.

Dingin Tangan
Maksud: Orang yang pekerjaannya selalu berjaya.
Contoh Ayat: Puan Lim memang, dingin tangan sayur-sayuran yang ditanamnya menjadi belaka.




SIMPULAN BAHASA : 33
Duit Kopi
Maksud: Bayaran tidak rasmi kepada seseorang sebagai upah.
Contoh Ayat: Zali memberi RM50 sebagai duit kopi kepada Abu kerana membantunya mengecat rumah.

Durian Runtuh
Maksud: Mendapat sesuatu dengan mudah atau tidak disangka-sangka.
Contoh ayat : Pemberian bantuan oleh jutawan itu ibarat durian runtuh kepada mangsa-mangsa banjir.

Ekor Lipas
Maksud: Rambut pada lubang tengkuk.
Contoh Ayat: Anak remaja sekarang gemar dengan fesyen rambut ekor lipas.

Ekor Mata
Maksud: Sudut mata / memandang dengan menjeling.
Contoh Ayat: Dia memandang saya dengan ekor mata yang tajam.

Elok Budi
Maksud: Berkelakuan baik, bersopan dan pemurah.
Contoh Ayat: Batrisya yang sentiasa elok budinya merupakan menantu kesayangan Mak Cik Puteh.

Emas Tempawan
Maksud: Orang yang dikasihi.
Contoh Ayat: Rahimi merupakan anak tunggal, dialah emas tempawan keluarganya.

Embun Betina
Maksud: Titis embun yang kecil-kecil.
Contoh Ayat: Embun betina yang turun mendinginkan lagi suasana malam itu.

Faham Kiri = Berfahaman Kiri
Maksud: Berfikiran politik yang radikal.
Contoh Ayat: Dia berfahaman kiri dan suka menentang kerajaan.

Fajar Menyingsing
Maksud: Awal pagi.
Contoh Ayat: Kami akan memulakan ekspedisi mendaki Gunung Ledang sebelum fajar menyingsing.



SIMPULAN BAHASA : 34
Gadai Bergolok = Bergadai Bergolok
Maksud: Berbelanja sehingga berhabis.
Contoh Ayat: Arfah bergadai bergolok untuk mengadakan kenduri kahwin anak tunggalnya.

Gadai Nyawa = Bergadai Nyawa
Maksud: Meletakkan diri dalam keadaan yang boleh membawa maut.
Contoh Ayat: Mei Kee bergadai nyawa untuk menyelamatkan anaknya dalam kebakaran itu.

Gadis Sunti
Maksud: Anak perempuan yang belum baligh.
Contoh Ayat: Gadis sunti itu sudah biasa membuat kerja-kerja di dapur apabila ibunya tiada di rumah.

Gaji Buta
Maksud: Mendapat gaji tanpa perlu bekerja bersungguh-sungguh.
Contoh Ayat: Saya mesti menjalankan tugas dan tanggungjawab ini bersungguh-sungguh supaya tidak makan gaji buta sahaja.

Gaji Pokok
Maksud: Gaji tanpa bayaran yang lain.
Contoh Ayat: Walaupun gaji pokok saya kecil tetapi elaunnya lumayan.

Gambaran Hidup
Maksud: Teladan.
Contoh Ayat: Kita patut menjadikan kejadian tanah runtuh itu sebagai gambaran hidup.

Garam Hidup
Maksud: Pengalaman.
Contoh Ayat: Semasa berada di rantau orang sudah tentu banyak garam hidup yang kita tempuhi.

Gatal Mulut
Maksud: Suka bercerita keburukan orang.
Contoh Ayat: Tidak salah berbual-bual dengan jiran tetangga asalkan tidak gatal mulut.

Gatal Tangan
Maksud: Suka membuat yang bukan-bukan.
Contoh Ayat: Saya tidak mahu membawa Halizah ke rumah Mak Busu kerana dia suka gatal tangan sehingga habis bunga Mak Busu dirosakkan.

SIMPULAN BAHASA : 35
Gelap Buta
Maksud: Sangat gelap.
Contoh Ayat: "Salmah, jangan berjalan dalam gelap buta seorang diri, takut terjadi sesuatu yang tidak diingini," nasihat Pak Mat kepada anaknya.

Gelap Fikiran
Maksud: Tidak dapat berfikir lagi kerana terlalu marah.
Contoh Ayat: Tamam mengamuk kerana dia menjadi gelap fikiran apabila melihat rumahnya dibakar.

Gelap Hati
Maksud: Sukar memahami pelajaran.
Contoh Ayat: Murid yang gelap hati dalam mata pelajaran Matematik akan diberikan bimbingan khusus.

Gelap Mata
Maksud:Tidak dapat berfikir lagi kerana terlalu marah / Pitam.
Contoh Ayat: Jabu terjatuh sebaik saja kakinya mencecah di garisan penamat dalam perlumbaan 500 meter itu kerana gelap mata.

Gelap Wang = Menggelapkan Wang
Maksud: Menggunakan wang yang bukan hak.
Contoh Ayat: Pekerja yang menggelapkan wang syarikat itu sekarang berada dalam tahanan polis.

Gelegar Buluh
Maksud: Bercakap besar tetapi kosong.
Contoh Ayat: Saya tidak berminat mendengar ceramahnya kerana cakapnya hanyalah gelegar buluh sahaja.

Geli Hati
Maksud: Rasa lucu hendak tertawa.
Contoh Ayat: Geli hati saya melihat telatah badut dalam persembahan sarkas itu.

Gelora Hati
Maksud: Perasaan yang tidak tenang.
Contoh Ayat: Dia tidak dapat menahan gelora hati untuk bertemu dengan sahabat penanya dari Kashmir.

Gelora Semangat
Maksud: Perasaan berkobar-kobar.
Contoh Ayat: Bergelora semangatnya untuk mempertahankan rekod dunianya di Sukan Olimpik kali ini.

SIMPULAN BAHASA : 36
Gencatan Senjata
Maksud: Memberhentikan peperangan.
Contoh Ayat: Pihak Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata dengan palestin.

Gendang Paha = Bergendang Paha
Maksud: Bersuka ria kerana orang lain ditimpa kesusahan.
Contoh Ayat: Musuh politiknya bergendang paha apabila tersebar berita dia dijatuhi hukuman penjara.

Gerak Hati
Maksud: Perasaan.
Contoh Ayat: Gerak hatiku mengatakan aku akan berjaya dalam peperiksaan ini.

Gigi Air
Maksud: Tepi air laut.
Contoh Ayat: Indah sungguh pemandangan di gigi air pada waktu senja.

Gigi Hutan
Maksud: Tepi hutan.
Contoh Ayat: Pasukan TKRS berkhemah di gigi hutan selama 3 hari.

Gila Harta
Maksud: Sentiasa mementingkan harta kekayaan.
Contoh Ayat: Ibunya gila harta, pinangan orang miskin tidak akan diterima.

Gila Judi
Maksud: Orang yang suka bermain judi.
Contoh Ayat: Tabiat gila judi akan menyebabkan orang menjadi papa kedana.

Gila Kuasa
Maksud: Sangat ingin mendapat kuasa.
Contoh Ayat: Temenggung yang gila kuasa itu sanggup memfitnah Raja Tengah.

Gila Pangkat
Maksud: Sentiasa ingin mendapat pangkat.
Contoh Ayat: Dia bekerja keras bukan kerana gila pangkat tetapi ingin meningkatkan prestasi cemerlang jabatannya.

Golok Kayu
Maksud: Orang bodoh yang berlagak pandai.
Contoh Ayat: Dia seperti golok kayu, kononnya dia tahu segala-galanya padahal semuanya dusta.

SIMPULAN BAHASA : 37
Gulung Tikar
Maksud: Muflis / jatuh miskin.
Contoh Ayat: Dalam keadaan ekonomi negara yang gawat, perniagaannya merosot dan dia akhirnya terpaksa gulung tikar.

Gunting Hati = Menggunting Hati
Maksud: Melukai perasaan.
Contoh Ayat: Perbuatan anak gadisnya yang lari dari rumah itu telah menggunting hatinya.

Gunung Hati = Menggunung Hati
Maksud: Tersangat ingin.
Contoh Ayat: Menggunung hati kami hendak bertemu ibu yang telah terpisah sejak kami kecil lagi.

Gunung Payung
Maksud: Orang kesayangan.
Contoh Ayat: Dialah cucu tunggal yang menjadi gunung payung kepada nenek.

Gunung Runtuh
Maksud: Bunyi bergemuruh.
Contoh Ayat: Bunyi letupan dari kuari batu kapur yang berhampiran dengan kampung itu seperti gunung runtuh.

Habis Akal
Maksud: Bingung setelah berusaha sedaya upaya.
Contoh Ayat: Saya  habis akal untuk mendapakan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke universiti pada tahun depan.

Habis Bulan
Maksud: Hujung bulan.
Contoh Ayat: Habis bulan Mac ini, dia akan berpindah ke Sarawak.

Habis Jadi Abu
Maksud: Musnah.
Contoh Ayat: Pasukan Selangor gagal ke pertandingan akhir dan impian untuk bergelar juara habis jadi abu.

Habis Jodoh
Maksud: Bercerai.
Contoh Ayat: Ramlan dan Ramlah telah habis jodoh setelah sepuluh tahun berkahwin.


SIMPULAN BAHASA : 38
Habis Modal
Maksud:
A) Tidak ada lagi modal yang tinggal.
B) Tidak ada lagi perkara yang hendak dicakapkan.
Contoh Ayat:
A) Saya sudah habis modal untuk meneruskan perniagaan ini.
B) Cukuplah setakat sini, saya pun telah habis modal untuk berbual.

Habis Nyawa = Menghabiskan Nyawa
Maksud:  Mati / Menebus dengan nyawa.
Contoh Ayat:
A) Ayam yang dilanggar oleh motosikal tadi sudah habis nyawa ketika saya menghampirinya.
B) Dia sanggup menghabiskan nyawa untuk memerangkap harimau yang telah membaham ayahnya.

Habis Perkara
Maksud: Selesai.
Contoh Ayat: Pertelingkahan semalam dianggap sudah habis perkara dan jangan dibangkitkan lagi.

Habis Tahun
Maksud: Penghujung tahun.
Contoh Ayat: Habis tahun ini saya akan berpindah ke luar negeri kerana ayah telah dilantik sebagai duta negara.

Halwa Mata
Maksud: Persembahan yang mengasyikkan.
Contoh Ayat: Persembahan tarian tradisional pada malam meraikan ahli sukan negara itu telah menjadi halwa mata para penonton.

Halwa Telinga
Maksud: Sesuatu yang baik untuk didengar.
Contoh Ayat: Rancangan "Senandung Malam" yang sering ke udara di radio itu akan menjadi halwa telinga apabila saya bersendirian di rumah.

Hampa Tangan
Maksud: Tidak mendapat apa-apa.
Contoh Ayat: Dia pulang dengan hampa tangan apabila kalah dalam pertandingan bahas itu.




Hangat Hati
Maksud: Sangat marah.
Contoh Ayat: Hangat hati saya melihat dia memijak-mijak batas sayur itu.

Hancur Hati
Maksud: Sangat sedih.
Contoh Ayat: Hancur hati ibunya apabila menerima berita anaknya terlibat dalam kemalangan itu.

No comments:

Post a Comment